Pages

KETAHUI HAK KITA

Perkara 10[1][a] Perlembagaan Persekutuan menjelaskan berkaitan dengan hak ini,iaitu semua warga Negara Malaysia berhak untuk bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran.Walaupun begitu,ia bukanlah merupakan kebebasan yang mutlak.Bahkan ia tertakluk kepada fasal [2].[3] dan [4].

Perkara 10[2][a] membenarkan Parlimen mengenakan;
Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan [a] Fasal [1],apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya,perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain,ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakan penghinaan terhadap mahkamah,fitnah,atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.Jadi,hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan itu adalah selagi mana hak kebebasan itu tidak disalahgunakan,seperti sesuatu ungkapan itu tidak menjadi suatu fitnah,ungkapan yang tidak menjadi suatu hasutan.

Thursday, September 8, 2011

Pakar sejarah hanya kusutka​n keadaan

Mat Indera dalam buku Yayasan Warisan Johor


Kini ahli-ahli akademik khususnya para sejarawan sudah terheret sama di dalam kemelut status Mat Indera ini. Malangnya respon yang diterima amat mendukacitakan malah menambahkan lagi kekeliruan di kalangan masyarakat.

Tanpa disangka-sangka, kini kredibiliti penulis biografi Mat Indera di dalam buku Pengukir Nama Johor pula yang menjadi sasaran para sejarawan. Misalnya, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam di dalam Sinar Harian mempertikaikan bahawa Allahyarham Ismail Adnan bukanlah seorang pengkaji. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula mempersoalkan latar belakang Allahyarham. Apakah ertinya semua ini?

Saya pasti Ramlah Adam pun tahu kewujudan biografi Mat Indera ini kerana beliau bersama-sama Allahyarham menjadi antara ahli jawatankuasa penulisan buku Pengukir Nama Johor. Beberapa karya Ramlah Adam juga dimuatkan di dalam buku tersebut. Kalau Allahyarham bukan pengkaji dan hasil penulisannya mengenai Mat Indera ini rendah mutunya, mengapakah diizinkan juga penerbitan biografi Mat Indera di dalam buku Pengukir Nama Johor? Lebih menghairankan, hanya tujuh tahun sesudah buku Pengukir Nama Johor diterbitkan pada 2004, barulah Ramlah Adam bersuara untuk mempertikaikan kredibiliti penulis biografi Mat Indera. Mengapa membisu sekian lama? Beginikah sikap cendekiawan dan seorang ahli akademik tersohor? Hanya setelah kandungan buku Pengukir Nama Johor diheboh-hebohkan baru hendak bersuara?

Latar belakang bagaimana pula yang dimaksudkan oleh Khoo Kay Kim? Apakah kerana Allahyarham bukan seorang Profesor maka apa yang ditulis beliau boleh diremehkan? Saya membaca biodata Allahyarham, kerjaya beliau sebagai pendidik begitu cemerlang, pernah menjadi pengetua sekolah berasrama penuh, pegawai pendidikan daerah dan pegawai kanan di Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan. Latar belakang sebegini tidak mencukupi agaknya.

Komen editor buku Pengukir Nama Johor tidak kurang menimbulkan tanda tanya. Seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Malaysia, Prof. Datuk Abu Bakar A. Hamid mengatakan bahawa Allahyarham mengajak pembaca berfikir sama ada Mat Indera adalah hero atau pengkhianat negara. Sedangkan Allahyarham dengan jelas melabelkan Mat Indera sebagai pejuang. 'Berfikir' apa yang dimaksudkan oleh Abu Bakar A. Hamid? Di dalam biografi Mat Indera, Allahyarham langsung tidak memberi apa-apa gambaran bahawa Mat Indera adalah pengkhianat. Jangan menambah sesuatu yang Allahyarham tak pernah nyatakan! Kami sebagai pembaca bukannya bodoh. Boleh jadi oleh kerana Utusan Malaysia yang melaporkannya, maka tidak mustahil apa yang dikatakan oleh Abu Bakar A. Hamid telah diputarbelitkan oleh wartawan. Tetapi jika benarlah seperti apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, ini memang satu pembohongan yang amat nyata.

Yayasan Warisan Johor (YWJ) pula mengambil jalan selamat dengan menyatakan bahawa institusi itu tidak pernah mengiktiraf ketokohan Mat Indera sebaliknya menyerahkan kepada budi bicara pembaca untuk mentafsir sendiri siapakah Mat Indera. Ironinya YWJ mengiktiraf karya Allahyarham sebagai kajian akademik. Kewujudan satu lagi artikel yang melabelkan Mat Indera sebagai pengkhianat ini memang sudah diketahui, sesiapa yang membaca buku tersebut pastinya tahu. Maka terpulanglah kepada para pembaca untuk menilainya sendiri. Reaksi YWJ juga membingungkan, adakah pembaca hanya boleh membaca sahaja tetapi tidak dibenarkan menyatakan pendirian? Apabila terdapat bukti-bukti yang mengiktiraf dan menghentam Mat Indera, lalu kita pilih untuk mengiktiraf Mat Indera, adakah ini satu kesalahan? Rakyat diajak berfikir tetapi tidak boleh menzahirkan pendirian, ini amat melucukan!

Kalau beginilah sikap para sejarawan kita, para pembeli dan pembaca buku YWJ bukan sahaja berasa tertipu, malah mula merasakan sejarah yang dipelajari di sekolah selama ini perlu dipertimbangkan semula. Kalau sudah banyak sangat pertikaian mengenai kredibiliti penulisan Allahyarham, saya kira eloklah YWJ padamkan sahaja biografi Mat Indera daripada buku Pengukir Nama Johor. Amat memalukan pula apabila kritikan itu datang daripada rakan Allahyarham yang sama-sama duduk sebagai ahli jawatankuasa penulisan buku tersebut.

Wahai pakar-pakar sejarah, tanggungjawab kalian kepada siapa sebenarnya? Pakar-pakar sejarah mendabik dada, kamilah yang lebih tahu sejarah, ahli politik jangan sibuk mempolitikkan sejarah, tetapi dengan perkembangan terkini saya berpendapat, pakar sejarahlah orang yang paling pandai mempolitikkan sejarah!

Tulisan: Khairul Majdi
Dari: Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...