Bila mahu berakhir cerita luka duka di Negeri terkaya di Malaysia pun kita
tidak tahu, masih samar-samar. Walaupun PKR dan DAP tetap dengan calon
tunggalnya, Datin Sri Wan Azizah Ismail, sebagai bakal MB Selangor, manakala
PAS seperti kenyataan terbaharunya, ia akan menetapkan calonnya juga tapi masih
dikalangan ADUN PKR. Walaupun PAS masih kelihatan seperti berlengang lenggok
dalam pemilihan calon bakal MB nanti. Kita mengharapkan biarlah keputusan yang
terbaik buat negeri terkaya ini. Tan Sri Khalid Ibrahim bakal melepaskan
jawatan sebagai MB Selangor. Kita takkan lupa jasa Tan Sri Khalid Ibrahim, ia
nostalgia buat Pakatan Rakyat dan juga rakyat Selangor.
Rakyat Selangor, khususnya yang masih sayangkan Tan Sri Khalid Ibrahim
pasti akan merinduinya, UMNOBN pun respek dengan corak pentadbiran Tan Sri
Khalid Ibrahim, takkanlah rakyat yang sayangkan beliau tak rindukannya kan’. Saya
yakin masih ramai lagi dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang masih sukakan
Tan Sri Khalid, namun apa daya, keputusan sudah dibuat, Tan Sri Khalid perlu
berundur, dan sememangnya Tan Sri Khalid Ibrahim sedia undur, cuma beliau
terpaksa akur dengan titah Baginda Sultan untuk menangguhkan perletakkan
jawatannya sebagai MB Selangor, sementara menunggu kesemua parti menamanakan
beberapa orang untuk calon MB yang baharu.
Sebagai rakyat Selangor yang cintakan tanah airnya, kita mengharapkan
kemelut atau krisis yang berlaku ini segera terungkai, cukuplah, ia terjadi
sebagai satu pengajaran buat seluruh ahli politik di tanah air ini. Cukuplah
bersilat, berkung fu dan sebagainya, pentingkan masalah rakyat terbanyak.
Kehidupan semakin menghimpit, kos hidup masih tinggi, di mana-mana pun, kota
atau desa, masing-masing banyak yang mengeluh. Sedang ahli politik masih mahu
bercakaran sesama mereka. Rakyat masih ada yang tidak berumah, masih ramai yang
hidup bergelandangan, bukankah itu cukup bukti yang menunjukkan rakyat kita
masih terbeban dan terseksa dengan kos kehidupan.
Cukuplah ahli-ahli politik yang diharapkan oleh rakyat terus bercengkerama,
asyik tuduh menuduh, cakar mencakar, selesaikan dan uruskan krisis secara
bijaksana, jangalah mementingkan diri sendiri, berbincanglah, bermesyuarawhlah
dan cukuplah berbalah-balah sesama rakan gabungan. Cukuplah, masing-masing mahu
tunjuk hero, rakyat melihat dan mereka sedang melihat anda semua. Janganlah
sampai perangai pun hampir sama dengan parti lawan yang sering di kata. Ingat,
padah akan menunggu, jika krisis atau kemelut yang melanda ini tidak
diselesaikan dengan bijaksana. Ramai dikalangan rakan-rakan penulis menunjukkan
rasa jengkel dan muaknya melihat krisis yang berlaku ini.
Selepas ini, siapa pun yang dilantik menjadi MB Selangor, gabungan Pakatan
Rakyat kena akur dan terimalah, memanglah, siapa pun pasti tidak rasa puas hati,
berjiwa besarlah kamu sebagai pemimpin, tidak kira dari parti mana pun,
khususunya PKR, PAS dan DAP. Terus berkerja keras memajukan negeri terkaya ini.
Khususunya mengkayakan rakyat, bukan mengkayakan diri sendiri dan kroni. Musuh
masih melilau-lilau mencari peluang. Jangan sampai terlepas, nanti menangis
tidak berlagu. PRN?... Cukuplah, tidak perlu PRN, setakat yang dilihat hari
ini, begitulah. Tutup krisis atau kemelut ini dengan perlantikan MB baharu.
Selesai secara baiknya, itu yang rakyat mahu.
Justeru itu, sempena hari kemerdekaan ke-57 ini, saya antara anak jati
negeri terkaya ini, mengharapakan agar segala yang berlaku ini akan segera
selesai dan rakyat Selangor akan terus menikmati kebajikan menerusi program
yang sudah diatur dengan baik selama ini, iaitu PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI
SELANGOR. Agar ianya akan berkesinambungan nanti dengan perlantikan MB yang
baharu. Oleh itu, sama-samalah berdoa, semoga pentadbiran di negeri terkaya di
Malaysia ini, terus ditatakelola oleh tangan-tangan yang berjiwa rakyat,
beragama, tidak rasis, dan sentiasa mengamalkan integriti yang ‘high class’,
dan yang penting dari itu, Pakatan Rakyat akan terus menerajui Negeri Selangor
yang tercinta ini.
Ayuh berubah, selamatkan Malaysia.