Pages

KETAHUI HAK KITA

Perkara 10[1][a] Perlembagaan Persekutuan menjelaskan berkaitan dengan hak ini,iaitu semua warga Negara Malaysia berhak untuk bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran.Walaupun begitu,ia bukanlah merupakan kebebasan yang mutlak.Bahkan ia tertakluk kepada fasal [2].[3] dan [4].

Perkara 10[2][a] membenarkan Parlimen mengenakan;
Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan [a] Fasal [1],apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya,perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain,ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakan penghinaan terhadap mahkamah,fitnah,atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.Jadi,hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan itu adalah selagi mana hak kebebasan itu tidak disalahgunakan,seperti sesuatu ungkapan itu tidak menjadi suatu fitnah,ungkapan yang tidak menjadi suatu hasutan.

Thursday, July 19, 2012

PERUTUSAN MENTERI BESAR SELANGOR


Abdul Khalid Ibrahim


PERUTUSAN MENTERI BESAR SELANGOR
YAB TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK
1433 HIJRAH BERSAMAAN 2012 MASIHI

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga, dan sahabat baginda. Syukur kita kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan keizinan-Nya, kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan yang penuh berkat, bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Rakyat Selangor yang dikasihi sekalian,

Sempena bulan yang penuh berkat ini, Kerajaan Negeri Selangor menyeru umat Islam, khususnya di negeri Selangor untuk memanfaatkan setiap detik dan hari dalam bulan yang mulia ini dengan amalan-amalan murni dan bermanfaat kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

Di samping kita memenuhi tuntutan wajib sebagai Rukun Islam Ke-3 ini, tidak dilupakan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Terawih dan bertadarus al-Quran di sepanjang Ramadhan. Amalan mengimarahkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan kelas-kelas takmir di institusi-institusi masjid dan surau serta amalan bertadarus al-Quran perlu diteruskan bukan sekadar tuntutan agama semata-mata malah sebagai wadah perpaduan dan kekuatan ummah.

Pengimarahan takmir, misalnya, penting bukan sahaja bagi membendung masalah-masalah sosial yang melanda umat Islam hari ini, malah bagi membentuk sebuah masyarakat Islam yang mendokong amalan murni dan nilai-nilai kemanusiaan yang merentasi batasan agama dan ras sesuai dengan latar belakang rakyat berbilang kaum di negeri Selangor.

Para guru agama dan jawatankuasa institusi masjid dan surau di seluruh negeri Selangor disaran mencari jalan terbaik bagi memanfaatkan bulan Ramadhan ini dengan pelbagai program keagamaan, intelektual dan kemasyarakatan supaya dapat mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.

Tidak dilupakan amalam-amalan bersedekah dan saling membantu diantara satu sama lain. Ia penting bagi memupuk sikap kebertanggungjawaban, ambil berat dan saling membantu diantara satu sama lain. Ia seiring dengan saranan baginda Nabi Muhammad S.A.W. iaitu “…tolong menolonglah kamu diantara satu sama lain – walaupun hanya dengan sekadar sebiji tamar dan segelas air…”

Semoga Allah S.W.T. memberi taufik dan hidayah kepada kita semua supaya kita dapat melipat gandakan amal ibadah di bulan mulia ini.

Akhir kata, saya bagi pihak kerajaan Negeri Selangor mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-mubarak 1433 Hijrah bersamaan 2012 Masihi. Semoga amal ibadah dan jariah yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini akan diterima dan mendapat keredaan dari-Nya.

Sekian,

Wabillahi taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...