Pages

KETAHUI HAK KITA

Perkara 10[1][a] Perlembagaan Persekutuan menjelaskan berkaitan dengan hak ini,iaitu semua warga Negara Malaysia berhak untuk bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran.Walaupun begitu,ia bukanlah merupakan kebebasan yang mutlak.Bahkan ia tertakluk kepada fasal [2].[3] dan [4].

Perkara 10[2][a] membenarkan Parlimen mengenakan;
Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan [a] Fasal [1],apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya,perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain,ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakan penghinaan terhadap mahkamah,fitnah,atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.Jadi,hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan itu adalah selagi mana hak kebebasan itu tidak disalahgunakan,seperti sesuatu ungkapan itu tidak menjadi suatu fitnah,ungkapan yang tidak menjadi suatu hasutan.

Tuesday, July 17, 2012

Umno sudah berada di hujung senja


Harakahdaily,17 Jul 2012

KUALA LUMPUR: Ideologi Umno semakin tidak laku, dan tidak dihayati oleh generasi muda yang menyertai Umno, kata Ustaz Idris Ahmad (gambar), AJK PAS Pusat.

Buktinya, kata beliau, kerisauan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi supaya pemuda dan puteri Umno mesti menghayati perjuangan Umno, supaya ia relevan sepanjang masa dan dapat menarik minat orang muda kepada Umno.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kluang.

Sebenarnya, kata Idris, memang generasi muda yang menyertai Umno sudah tidak menghayati ideologi perjuangan Umno.

Semua ini terjadi kerana kesilapan Umno yang mendidik mereka jadi sedemikian rupa.
Menyertai Umno hanya untuk dapat projek dan broker projek sehingga mereka ini bukan sahaja tidak ada ideologi malahan bukan usahawan sebenar.

Namun, bagi Idris, amaran Dr Fuad sudah terlambat kerana Umno berada dihujung senja.

Menyedari Umno sudah menjadi asing di kalangan anak muda, walaupun  emak bapa bereka penyokong tegar Umno.

Umno sudah hilang identiti, perjuangan Umno ibarat orang yang mengidap penyakit kencing manis yang semakin susut batang tubuhnya.

"Kesilapan Umno yang ajar ahlinya dengan benda, telah menjadi senjata makan tuan," katanya.

Sebelum ini, mereka boleh hidup jika ada projek.

Sekarang ekonomi semakin mengucup, tidak banyak  projek untuk mereka menjadi broker.
Negeri Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap sebagai lubuk duit sudah berada di tangan Pakatan Rakyat.

"Cuba bayangkan jika kerajaan Pusat jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas PRU 13. Adakah mampu ahli Umno yang tidka ada ideologi boleh hidup," soal beliau.

Kerana projek yang akan dijalankan dengan telus dan berhemah, sewaktu itu adakah harimau yang biasa makan daging boleh hidup jika dijamu dengan ikan masin, soalnya.

Pemuda PAS ajak artis dan seniman berusrah





KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak para artis dan selebriti menyertai usrah Seniman, Karyawan dan Artis (Musika) sebagai langkah untuk mereka terus istiqamah dengan penghijrahan.

PAS sentiasa memastikan setiap ahlinya akan menyertai program usrah baik di peringkat akar umbi apatah lagi di peringkat pimpinan atasan kerana usrah dilihat sebagai aktiviti pentarbiyahan.

Ketuanya Nasruddin Hassan (gambar) berkata, program usrah Musika yang dikhususkan kepada artis dan selebriti pernah diadakan sebelum ini dan pada 19 Julai ini adalah untuk kali ke-3.

Dengan adanya program seperti ini, katanya artis yang belum menyertai PAS juga melahirkan minat untuk menyertai Musika. 

"Ini adalah perkembangan yang baik, kita tidak mahu artis dan selebriti yang menyertai PAS mensia-siakan penghijrahan mereka dan daripada program ini insyallah mereka akan istiqamah," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya,  usrah yang mungkin diadakan secara berkala itu akan turut membincangkan peranan dan penghijrahan yang mereka lakukan terhadap PAS dan masyarakat.

Di samping itu, DPPM akan bekerjasama dengan Lajnah Kebudayaan PAS Pusat untuk menganjurkan majlis dan taklimat khusus Presiden PAS kepada semua ahli baru yang bukan sahaja artis tetapi golongan penjawat awam yang menyertai PAS.

"Kita akan adakan pertemuan tertutup untuk jelaskan hala tuju, dasar dan prinsip PAS. Sekali gus mewujudkan hubungan secara tidak langsung individu dan pimpinan bersama golongan selebriti untuk pentarbiyahan secara tidak formal," katanya. 

Katanya, PAS telah membuat perubahan besar mendekati golongan artis sehingga mencetuskan fenomena kemasukkan artis dalam PAS.

"Kita telah mulakan langkah awal menziarahi dan mendekati mereka, jadi inilah (Musika) yang akan menjadi jambatan menghubungkan PAS dengan artis," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, Halim Ahmad berkata, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan artis untuk mengelakkan mereka yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Hari ini ramai artis dengan berani tampil secara rasmi menyertai PAS antaranya, pelakon filem Lt. Adnan Hairie Othman, penyanyi popular 'Janji Manismu' Wan Aishah Wan Ariffin, komposer lagu Bob Lokman, dan pengarah drama Adam Hamid dan pelawak Leman Raja Lawak. 

Monday, July 16, 2012

Hudud dan politik


Tuan Guru Haji Hadi Bin Awang

Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.


Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.

Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang  jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah.  Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.

Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi.  Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.

Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.

DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Presiden PAS

Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya Selangor (5)


Ramai lagi Tan Sri, Datuk akan tinggalkan Umno


Hazayani Zakaria,16 Jul 2012

(Mohamad Sabu berucap di Stadium Kuala Selangor malam tadi)


KUALA SELANGOR: Ramai lagi pemimpin Umno BN menunggu masa untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat lantaran tidak tahan dengan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbirannya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, selepas Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan Tamrin Ghafar secara lantang menyeru rakyat meninggalkan Umno BN, ada pemimpin Umno BN lain yang menunggu masa untuk melakukan perkara sama.

"Hampir setiap hari saya minum kopi dengan pemimpin Umno, mereka menunggu masa sahaja untuk keluar daripada Umno. Salah seorang yang mengambil sikap sedemikian ialah Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

"Ramai lagi datuk dan tan sri yang menunggu masa meninggalkan Umno," kata beliau ketika berucap di Perhimpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor, malam tadi.

Beliau berkata, semakin ramai rakyat berani menzahirkan tentangan kepada Umno BN kerana isu rasuah dan penyelewengan dalam parti itu semakin terdedah, malah oleh bekas pemimpin Umno sendiri.

"Kita lihat pegawai kerajaan setelah pencen isi borang PAS  dan minta rakyat tolak Umno. Kenapa ramai sangat rakyat nak tolak Umno sekarang?

(Antara yang menyertai PAS malam tadi)

"Tidak lain dan tidak bukan kerana Umno amalkan rasuah, ketirisan, penyelewengan," katanya di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri stadium.

Perkauman


Menyedari perkara ini kata Mohamad, Umno BN giat memainkan isu perkauman untuk menarik sokongan orang Melayu dengan melaga-lagakan orang Melayu dengan DAP.

"Jalan lain tidak ada bagi Umno untuk mempertahankan kuasa. Mereka berhujah di sudut perkauman.

"Ketika kita berhimpun di sini, kita lihat sebaran dibuat kepada Melayu Islam mengenai DAP. Barangkali penuh di luar sana disebar bahawa kalau Umno kalah yang akan jadi perdana menteri ialah DAP. Ini pembohongan," kata beliau sambil memegang risalah mengutuk DAP yang disebar di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, tindakan terdesak ini untuk menarik undi orang Melayu.

"Mereka gunakan ini untuk tarik Orang Melayu. Mereka tak harapkan Cina, tak harapkan India.  Oang Asli pun mereka tak harap," katanya.

Sumber: Harakahdaily

Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya Selangor (4)


Himpunan Hijau Menuju Putrajaya: “BN sakit”



Roketkini.com,16 Jul 2012

KUALA SELANGOR: Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mana parti memerintah melaga-lagakan kaum dan agama untuk terus berkuasa, kata Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.

Berucap di hadapan puluhan ribu rakyat semasa Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, pembohongan dan fitnah yang melaga-lagakan kaum secara berterusan ke atas pimpinan Pakatan Rakyat mencerminkan betapa BN sedang ‘sakit’.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Selangor menceritakan  bagaimana beliau sendiri difitnah berkenaan isu azan di Puchong sehingga disumbatkan ke dalam ISA.

“Saya dimasukkan ke dalam ISA dulu, kemudian baru polis siasat. Kemudian hasil siasatan menunjukkan bahawa saya tidak pernah pun pergi ke masjid tersebut dan tidak pernah bangkitka isu azan dan (Timbalan Pengarang Utusan Malaysia) Zaini Hassan memutarbelitkan cerita ini di Utusan,” katanya.

Menurutnya, fitnah perkauman terhadap Pakatan Rakyat terus dilakukan hingga sekarang, termasuk mendakwa bahawa beliau (Teresa) mahu menjadi Menteri Besar Selangor manakala Lim Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri.

“Ini semua tidak benar sama sekali. Kita telah jelaskan sejak dahulu lagi bahawa orang Melayu merupakan majoriti di negeri ini dan kita akan terus menyokong kepimpinan yang berintegriti dan bersih,” tambah beliau.

“Lawan gergasi yang lama berkuasa”

(Ribuan manusia di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor)

Turut memberi ucapan pada malam gilang-gemilang tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang menyatakann bahawa dakwaan UMNO yang mengatakan Pulau Pinang kini diambil oleh ‘Cina’ adalah melucukan.

“Dulu Koh Tsu Koon tu Melayu kah?” ujar beliau disambut tepukan dan sorakan hadirin.

“Kalau Melayu pun, apa yang kita mahukan ialah kepimpinan yang bersih dan berintegriti. Kalau kepimpinan Melayu pun rosak, tidak ada gunanya.”

Mengakhiri ucapan beliau, Wan Azizah menyeru agar seluruh pejuang Pakatan Rakyat yang mendokong kebenaran dan keadilan agar terus istiqamah.

“Kita bukan lawan mereka yang lemah, tetapi kita melawan gergasi yang lama berkuasa.”

DAP gadai tanah rizab Melayu?


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula meminta agar seluruh rakyat Malaysia menolak UMNO dalam pilihan raya akan datang kerana mereka telah banyak menggadaikan kepentingan rakyat dan negara.

“Siapakah yang telah menggadaikan dari 3 juta hektar tanah Melayu kepada hanya 1.7 juta hektar yang tinggal sekarang? Adakah DAP? Siapakah yang telah menghilangkan Bank Bumiputera, adakah DAP?”

Menurut beliau, kini pendedahan penyelewengan bukan sahaja dibuat oleh pimpinan oposisi seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, malah ia didedahkan oleh Jabatan Audit Negara sendiri.

“Dulu bila Lim Kit Siang dedahkan skandal Bank Bumiputera, mereka (UMNO) mengenakan dakwaan perkauman terhadap beliau seolah-olah ingin menjatuhkan kepentingan orang Melayu.

“Tapi kini, bila pegawai-pegawai audit yang terdiri dari orang Melayu sendiri yang mendedahkan penyelewengan kerajaan, mereka nak kata apa?” jelas beliau.

Sumber: Harakahdaily

Sunday, July 15, 2012

Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya Selangor (3)


Tiga tokoh sertai PAS di Himpunan Hijau Selangor

KUALA SELANGOR: Tiga lagi bekas pegawai tinggi kerajaan menyerahkan borang permohonan keahlian PAS pada Himpunan Hijau Negeri Selangor, malam tadi.

Tokoh tersebut ialah bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang selama 31 tahun, Abdul Rahman Taib.

Seorang lagi merupakan bekas Pegawai Tadbir Diplomatik selama 33 tahun dan juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah.

(Abdul Rahman menyerahkan borang permohonan menyertai PAS)

Manakala tokoh ketiga ialah bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Bahagian Pengurusan dan bekas Pengarah Perhubungan dan Sumber Manusia di Jakim, Yusuf Hassan.

Ketiga-tiga tokoh tersebut menyerahkan borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu disaksikan ribuan peserta Himpunan Hijau di Stadium Kuala Selangor.

Abdul Rahman dalam ucapannya mewakili rakan-rakan berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana Pakaan Rakyat mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang untuk menerajui Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, mereka sudah merasai kezaliman Umno BN sewatu berada dalam kerajaan dan sudah tiba masanya mereka menzahirkan sokongan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

"Tanggungjawab kita untuk meruntuhkan kerajaan yang zalim. Segala kezaliman itu kami sudah rasai semasa kami bertugas dalam kerajaan, dan kami bertaha dan tiba saatnya kami zahirkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Pengalaman yang kami ada akan dicurahkan untuk membantu rakyat dan saya mewakili rakan-rakan yang berubah arah berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk tampil menyatakan sokongan di sini," katanya yang pernah ditahan kerana menyertai perhimpunan Bersih 1, Julai tahun lalu.

Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya Selangor (2)


Lautan manusia penuhi Stadium Kuala Selangor





(Orang ramai memenuhi Stadium Kuala Selangor sempena Himpunan Hijau menuju Putrajaya peringkat negeri Selangor)

KUALA SELANGOR: Lautan manusia memenuhi Stadium Kuala Selangor bagi menyertai Himpunan Hijau menuju Putrajaya peringkat negeri Selangor.

Kalau di perhimpunan hijau di negeri lain hanya pemimpin PAS sahaja yang menyertainya, di Selangor, para pemimpin Pakatan Rakyat turut menyertainya.

(Para pemimpin di pentas utama himpunan)

Selain Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, turut serta adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Teresa Kok, Exco kerajaan negeri Selangor dari DAP.

Veteran Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil yang turut menyertai himpunan ini pula berkata, "Saya bangga dapat kibarkan bendera yang mulia ini" sambil mengibarkan bendera PAS di atas pentas utama.

Selain Mohamad Sabu, pemimpin PAS yang hadir adalah Dr Hatta Ramli, Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Dzulkefly Ahmad anggota Parlimen Kuala Selangor dan Khalid Samad, anggota Parlimen Shah Alam.

Wan Azizah ketika berucap terus memberikan semangat reformasi untuk para hadirin yang di majlis yang penuh bersejarah untuk PAS Selangor ini.

(Dr Wan Azizah berucap sambil mengibarkan bendera PAS)

Himpunan bermula sejak petang dari apabila lebih 1,000 anak muda  berkonvoi dengan menaiki motor dari seluruh Selangor menuju stadium ini.

Mereka kemudiannya solat Asar berjamaah di stadium dan seterusnya solat Maghrib berjamaah di sini.
(Stadium Kuala Selangor penuh dengan keceriaan semasa Himpunan Hijau)

(Ikrar para pimpinan PAS)
(Bekas pegawai kanan kerajaan sertai PAS)
(Wakil Presiden Mesir turut memberikan ucapan)
Sumber: Harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...