Pages

KETAHUI HAK KITA

Perkara 10[1][a] Perlembagaan Persekutuan menjelaskan berkaitan dengan hak ini,iaitu semua warga Negara Malaysia berhak untuk bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran.Walaupun begitu,ia bukanlah merupakan kebebasan yang mutlak.Bahkan ia tertakluk kepada fasal [2].[3] dan [4].

Perkara 10[2][a] membenarkan Parlimen mengenakan;
Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan [a] Fasal [1],apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya,perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain,ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakan penghinaan terhadap mahkamah,fitnah,atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.Jadi,hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan itu adalah selagi mana hak kebebasan itu tidak disalahgunakan,seperti sesuatu ungkapan itu tidak menjadi suatu fitnah,ungkapan yang tidak menjadi suatu hasutan.

Sunday, May 24, 2015

Cukuplah…Kembali Ke Matlamat Asal



Makin tumpul pena siasah saya, sudah beberapa bulan tidak menulis perkembangan siasah tanah air. Sedang banyak isu yang boleh saya turut sama-sama meluahkan pandangan, sebagai warga Negara yang bebas merdeka (betul ke sudah merdeka sebenarnya?). Selagi yang namanya kehidupan selagi itulah diwarnai dengan pelbagai karenah. Dalam siasah, macam-macam berlaku, baik dari siasah pemerintahnya mahu pun siasah parti pembangkangnya, macam-macam yang berlaku. Krisis berlaku di mana-mana tak mengira tempat dan waktunya.

Dalam siasah parti pemerintahnya, terlalu banyak jika kita mahu menyenaraikan kesemuanya segala macam penyelewengan, kedurjanaan dan kemungkaran yang berlaku. Bahkan usah dinafi krisis yang berlaku dalam parti pembangkang, baik PAS, KEADILAN dan DAP. Gabungan ini semacam makin rapuh, antara satu sama lain saling bertelingkah tak sudah. Ada sahaja yang mahu diselisihkan. Sejak berlakunya tragedi ‘Langkah Kajang’, semakin hari ada sahaja yang berlaku antara mereka.

Rakyat semakin muak melihat aksi siasah yang tidak matang, diwaktu beria-ia mahu menumbangkan parti yang ada sekarang ini, sepatutnya parti pembangkang menguatkan jalinan pakatan dan persefahaman antara satu sama lain, sepatutnya mengambil iktibar dan ibrah tentang kekalahan PRU-13 yang lalu, jangan asyik menyalak dan menyalahkan kesalahan SPR dan kerajaan yang memerintah sekarang. Memang tidak perlu dinafikan adanya dalil-dalil penyelewengan yang berlaku, semua rakyat sudah tahu kebobrokkan sistem mereka.

Namun begitu, pakatan pembangkang usahlah asyik bertelahgah sesama sendiri, bagaimana mahu mencapai impian menuju ke Putrajaya,dan menerajui pemerintahan Negara yang diidam-idamkan?. Kerajaan impian yang rakyat inginkan, mengharapakan mereka boleh memberi pembelaan dan kebahagian kepada mereka. Ini, belum apa-apa, masing-masing sudah tunjuk hero, merasakan dia sudah boleh memerintah sendiri.

Antara pemimpin pakatan asyik bergaduh…ingatlah rakyat semakin matang, rakyat melihat semua perkara ini. Belum apa-apa, belum dapat memerintah negara baru perintah negeri  masing-masing sudah tunjuk jaguh dan angkuh. Usah sampai rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan kepada anda semua.

Kembalilah ke matlamat asal, jika benar-benar mahu melihat rakyat hidup selesa dan selamat, jika mahu sekadar untuk kepentingan siasah masing-masing, maka usahlah berangan-angan untuk mencapai apa yang diidamkan selama ini. Saya secara pribadinya semakin meluat dan menyampah melihat segelintir pemimpin dikalangan pakatan pembangkang pada waktu ini.

Kita punya hak untuk berbicara…


Sayangi Malaysi!

Thursday, February 26, 2015

Tak Tahu Nak Tulis Apa



Hampir beberapa bulan lamanya saya tidak menulis di sini. Banyak peristiwa-peristiwa politik tanahair yang tidak dapat saya tuliskan dan kongsikan sebagai pandangan pribadi. Entah mengapa mood menulis jatuh merudum, seolahnya sudah makin tumpul, biarpun naluri ingin menulisnya kuat. Mungkin kudrat ini tidak dipaksakan untuk melaksanakannya dengan sungguh-sungguh, maka akhirnya tiada tindakan yang harus dilakukan. Hari ini saya cuba menulis kembali, itu pun saya paksa-paksakan diri…entah apa yang akan saya tuliskan ini.

Banyak peristiwa dan isu-isu politik yang panas berlaku di tanahair kita. Ia bagai tiada kesudahan, pertembungan antara ideologi politik yang berbeza sangat menghuru-harakan suasana politik Negara. Begitu pun tidaklah sampai Negara menjadi kacau bilau, biarpun ada segelintir golongan yang cuba memanaskan keadaan itu. Mengambil kesempatan, menangguk di air yang keruh.

Biarpun begitu golongan ini hanya kelihatan gah, kuat, berdegar-degar bila isu itu berkaitan dengan pakatan pembangkang. Mereka bertindak juara, berteriak sana-sini seolah merekalah juara membela rakyat. Seolah merekalah penegak dan pembela agama, bangsa dan Negara, konon-kononnyalah begitu. Naik jijik melihat gelagat mereka.

Namun bilamana ia berlaku pada parti yang disanjungi, pemimpin mereka melakukannya. Diam, senyap, sunyi, menjadi bisu sebisu-bisunya, hilang kejantannanya, malah hilang terus keperkasaan mereka. Naik jelak, geli dan termuntah melihat gelagat auta mereka. Malah ada juga segolongan yang mereka namankan puak mereka Ngo(Ngok), pantang pemimpin pembangkang buat salah kononnya, terus buat laporan polis, hebat mereka ini, kaki lapor yang didokongi barangkali seperti mereka yang konon-kononnya wira perkasa itu.

Tetapi malangnya sikap dan tindak tanduk mereka juga sama, bila mana pemimpin yang mereka sokong, membuat kesalahan, sikit pun laporan buat mereka tidak dilaporkan. Senyap sunyi, sama juga bisu sebisu-bisunya. Tak tahulah mengapa sikap dan tabiat mereka sama, memang sudah ditakdirkan mereka semua itu sepisis auta punya orang.

Diharapkan agar golongan ini sedia insaf dan sedar diri, merenung ke dalam diri, tanyalah pada diri, apa sebenarnya perjuangan yang sedang mereka perjuangkan. Jika hanya untuk mengampu, membodek, mengiayakan sahaja pemimpin mereka biar pun bersalah atau apa-apa sahaja.

Baik fikir-fikirkan perjuangan yang tidak kemana tujuannya itu. Sedar-sedarlah diri jika perjuangan hanya merosakan nama baik bangsa, Negara dan lebih-lebih lagi tercemarnya nama baik agama yang suci ini, dek kerana sikap dan tindak tanduk mereka yang tidak mencerminkan sebagai pejuang bangsa dan agama.

Maka hentikanlah kerja tidak murni itu…

Sayangilah Malaysia Pertahankan Kedaulatan Negara Tercinta Ini!



Wednesday, February 25, 2015

Sajak: Tuan Terpenjara Mereka Suka

Tuan Terpenjara Mereka Suka
(Buat Dato Sri Anwar Ibrahim selepas mahkamah mendapati beliau bersalah)
Tinggalah seketika Tuan di sana
keputusan sudah dibuat yang konon arif bijaksana
gelak ketawalah musuh-musuh sudah direncana
esok atau bila-bila belum tentu untuk si pereka celaka
bersabarlah Tuan untuk beberapa seketika waktunya
berehatlah sementara untuk dunia seketika
di belakang sana terus setia menanti sinar bahagia.
Masuk penjara dan terpenjara nikmat seorang pejuang
pejuang harus sanggup terkorban…itukan harga mahal sebuah perjuangan
biarpun tidak salah bukan untuk mengalah
terpenjara tidak semestinya salah dan kalah
yang konon arif bijaksana tidur pasti tidak lena
jika benar Tuan tidak bersalah
di sana api menjulang menyala siap sedia untuk mereka.
Tuan…tinggalah seketika di sana
rumah rehat sementara, selagi nyawa masih ada
biarlah musuh gelak ketawa berdekah-dekah suka
semoga Tuan tetap bahagia walau dipenjara
bayang-bayang Tuan tetap masih ditakuti
suara-suara Tuan berdesing di telinga bikin trauma
slogan-slogan Tuan masih berbisa mengecutkan jiwa.
Tinggalah seketika di sana Tuan
masa untuk bersama Tuhan cinta setia
bermuhasabah mungkin ada terlebih terkurang
tinggalah sementara mereka yang disayang
jauh seketika dari sahabat jua rakan seperjuangan
tetap bergema laungan reformasi bukan fantasi
ia adalah idaman semua insani biarpun sampai berapa generasi
reformasi takkan mati biarpun suatu hari nanti Tuan pasti mati
tuan bersabarlah, kami setia menanti!
Masshah 2015
10022015
Meru.

Wednesday, September 3, 2014

Cukup-Cukuplah Bercakaran Sesama Sendiri





Melihat perkembangan terkini politik negara, semakin panas lagi, isu demi isu masih berlegar lagi, namun berapa ramai rakyat yang sedar hakikat ini, kemelut di Selangor sudah hampir ke penghujungnya, walaupun ada sedikit seolah ketegangan berlaku antara mereka, itup pun saya lihat, lebih permainan akhbar dan media sosial. Saya harap, para pemimpin pakatan rakyat hentikan percakaran sesama rakan pakatan. Inilah masanya membina keyakinan rakyat yang sebahagiannya terluka tentang apa yang berlaku.

Kita baharu beberapa hari menyambut merdeka, kelihatannya hambar sahaja, tidak ramai yang memasang bendera pada kenderaan mahu pun di kediaman atau di permis-permis perniagaan. Atau mungkinkah, rakyat bersetuju tentang bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, seperti ungkapan seorang pensyarah beberapa tahun sudah?. Entahlah..., memang sejak beberapa tahun yang lalu, sudah semakin kurang dan hambar tentang pemasangan jalur gemilang ini. Sudah hilang rasa petriotik kah, sebahgian rakyat kita?.Salah siapa dan mengapa?. Jawab sendirilah...

Beberapa hari yang lalu, Tun Mahathir  ada menulis tentang pentadbiran Najib di blognya, ia menjadi buah mulut ahli politik, media-media juga ada mengulas dan sebagainya. Tun Mahathir, masih bertaring, biar pun Tun diluar gelangang pentadbiran negara. Kukunya masih berbisa, kecamannya terhadap pentadbiran Najib memang berbisa, namun ketika itu Najib tidak menjawabnya. Di sebelah pembangkang pula, ada yang rasa suka, bila Tun berkata begitu, entahlah, saya melihat Tun ini, macam tidak konsisten, mungkin kepentingannya semakin tergugat barangkali.

Lebih-lebih lagi setelah gagalnya melihat Pakatan Rakyat berpecah, khususnya PAS sewaktu kemelut politik di Selangor. PAS tetap bersama Pakatan Rakyat, apa pula kena mengena dengan PAS dan TUN?. Secara peribadinya, saya melihat ini semua itu permainan politik yang licik, maklum siapa penasihat negara waktu ini?. Licik, licin, penuh berstrategi sekali, Tun seolah menekan Najib agar berbuat sesuatu atas pakatan rakyat, soal pentadbiran Najib, soal rakyat, soal cukai, soal harga barang, ada mereka kesah?. Apa yang penting kepentingan mereka bersama mesti dijaga, juta-juta, billion-billion, kroni-kroni tetap dalam gengaman mereka.

Kelihatannya, bila Tun bercakap pentadbiran Najib, Najib seolah diam, tak ada respon apa-apa, tapi lihat apa tindakbalasnya, seolah beliau memberitahu Tun, beliau lebih tegas, pantas untuk kelihatan tidak lembik. Lihat apa yang mereka buat terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, boleh hilang lebih kurang 6  buah Parlimen dan 3 buah Dun, boleh jadi pilihanraya untuk parlimen dan dun, jika mereka semua bersalah dalam akta hasutan yang kononnya Najib mahu hapuskan. Lihat permainan mereka, mereka tidak berhenti dan memang tidak akan berhenti untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat.

Ada pemimpin Pakatan Rakyat masih mahu berkerjasama dengan mereka?. Berpadu, bersatu demi Melayu, Islam dan apa lagi...itu kata mereka sebelum bersatu dan berpadu, bila sudah bersatu, berpadu...tengok tahun 1974, apa terjadi dengan kerjasama itu, khususnya PAS?. Sebab itulah mereka beria-ia, mahu PAS keluar Pakatan bila berlaku kemelut di Selangor, mereka tak heran dengan PKR dan DAP. Akhirnya mereka hampa...kecewa, PAS tetap dalam Pakatan Rakyat. Namun mereka tetap 24 jam berkerja untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Hari ini, baik yang di atas dan di bawah penyokong, pendokong, ahli, bukan ahli, pemimpin Pakatan Rakyat , MASIH MAHU BERCAKARAN SESAMA SENDIRI?.

Empat  hari lepas, apa mereka buat, apa mereka lakukan, kediaman seorang Ketua Menteri...diulang sekali lagi...Ketua Menteri bukan ketua JKKK tapi Ketua Menteri Pulau Pinang dibaling ‘molotov cocktail’, untuk apa mereka lakukan, siapa yang lakukan kita tidak tahu, tapi rentetan demi rentetan apa yang berlaku merupakan satu agenda yang dilakukan bukan suka-suka, ia ada motif dan target mereka lakukan begitu. Mengapa rasis sangat?. Sedang waktu itu kita mahu menyambut hari kemerdekaan, tetapi tindakan, percakapan tidak macam seorang yang berjiwa merdeka.

Tangkapan PPS@Pasukan Peronda Sukarelawan, juga merupakan satu rentetan, menurut bacaan politik ramai, ia bagi menutup skandal-skandal terbaharu, suntikan 6 billion untuk menyelamatkan MAS, sebenarnya satu isu besar, menurut Najib bukan ‘Bailout’...bukan bailout...tapi pelaburan...alahai.... Tentang tangkapan PPS sewaktu hari merdeka, secara pribadi sangat tidak sesuai, tidak melambangkan kebebasan, apa motif mereka pun tidak tahu, menurutnya tiada berdaftar dengan ROS, mencabar wibawa polis, ahlinya terlibat dengan jenayah, malah ada yang berkata, agenda Lim Guang Eng mewujudkan pasukan tersebut dan macam-macam lagi.

Kini meleret pula dengan Unit Amal pula, Sang Menteri Zahid Hamidi pula berkata, Unit Amal  juga boleh dikenakan tindakan, lihatlah, fikirkanlah, apa yang mereka buat dan lakukan, bukan main-main, bukan suka-suka, ada agendanya. Semua Pakatan Rakyat yang kena, mana tindakan untuk NGO-NGO yang konon pertahan Melayu, mahu pancung orang, mana tindakan untuk mereka, mana tindakan yang merusuh Pejabat Dap, mana tindakan yang merusuh di dewan undangan negeri pulau Pinang?. Mana?. TIADA.

Apa lagi?, banyak lagi yang akan kita tengok dan saksikan, kerana mereka sudah tiada idea, mereka lemah, mereka nampak kuat sebab mereka punya instrumen yang disalah guna, dan mereka punya penasihat yang licik. Ingatan kepada pemimpin Pakatan Rakyat, segera buangkan segala titik bengik, jika masih mahu sokongan rakyat, perbaiki kelemahan segera. Terus dekati rakyat dengan penuh didikasi, biar hujan lebat, petir sambar menyambar, lawan tetap lawan segala penyelewengan yang ada. Lawan kita tetap UMNOBN dalam arena politik tanah air tercinta ini. Cukup-cukuplah tu...!

Sekadar pandangan pribadi.


Ayuh berubah, selamatkan Malaysia

Saturday, August 30, 2014

Bila Akan Berakhir



Bila mahu berakhir cerita luka duka di Negeri terkaya di Malaysia pun kita tidak tahu, masih samar-samar. Walaupun PKR dan DAP tetap dengan calon tunggalnya, Datin Sri Wan Azizah Ismail, sebagai bakal MB Selangor, manakala PAS seperti kenyataan terbaharunya, ia akan menetapkan calonnya juga tapi masih dikalangan ADUN PKR. Walaupun PAS masih kelihatan seperti berlengang lenggok dalam pemilihan calon bakal MB nanti. Kita mengharapkan biarlah keputusan yang terbaik buat negeri terkaya ini. Tan Sri Khalid Ibrahim bakal melepaskan jawatan sebagai MB Selangor. Kita takkan lupa jasa Tan Sri Khalid Ibrahim, ia nostalgia buat Pakatan Rakyat dan juga rakyat Selangor.

Rakyat Selangor, khususnya yang masih sayangkan Tan Sri Khalid Ibrahim pasti akan merinduinya, UMNOBN pun respek dengan corak pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim, takkanlah rakyat yang sayangkan beliau tak rindukannya kan’. Saya yakin masih ramai lagi dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang masih sukakan Tan Sri Khalid, namun apa daya, keputusan sudah dibuat, Tan Sri Khalid perlu berundur, dan sememangnya Tan Sri Khalid Ibrahim sedia undur, cuma beliau terpaksa akur dengan titah Baginda Sultan untuk menangguhkan perletakkan jawatannya sebagai MB Selangor, sementara menunggu kesemua parti menamanakan beberapa orang untuk calon MB yang baharu.

Sebagai rakyat Selangor yang cintakan tanah airnya, kita mengharapkan kemelut atau krisis yang berlaku ini segera terungkai, cukuplah, ia terjadi sebagai satu pengajaran buat seluruh ahli politik di tanah air ini. Cukuplah bersilat, berkung fu dan sebagainya, pentingkan masalah rakyat terbanyak. Kehidupan semakin menghimpit, kos hidup masih tinggi, di mana-mana pun, kota atau desa, masing-masing banyak yang mengeluh. Sedang ahli politik masih mahu bercakaran sesama mereka. Rakyat masih ada yang tidak berumah, masih ramai yang hidup bergelandangan, bukankah itu cukup bukti yang menunjukkan rakyat kita masih terbeban dan terseksa dengan kos kehidupan.

Cukuplah ahli-ahli politik yang diharapkan oleh rakyat terus bercengkerama, asyik tuduh menuduh, cakar mencakar, selesaikan dan uruskan krisis secara bijaksana, jangalah mementingkan diri sendiri, berbincanglah, bermesyuarawhlah dan cukuplah berbalah-balah sesama rakan gabungan. Cukuplah, masing-masing mahu tunjuk hero, rakyat melihat dan mereka sedang melihat anda semua. Janganlah sampai perangai pun hampir sama dengan parti lawan yang sering di kata. Ingat, padah akan menunggu, jika krisis atau kemelut yang melanda ini tidak diselesaikan dengan bijaksana. Ramai dikalangan rakan-rakan penulis menunjukkan rasa jengkel dan muaknya melihat krisis yang berlaku ini.

Selepas ini, siapa pun yang dilantik menjadi MB Selangor, gabungan Pakatan Rakyat kena akur dan terimalah, memanglah, siapa pun pasti tidak rasa puas hati, berjiwa besarlah kamu sebagai pemimpin, tidak kira dari parti mana pun, khususunya PKR, PAS dan DAP. Terus berkerja keras memajukan negeri terkaya ini. Khususunya mengkayakan rakyat, bukan mengkayakan diri sendiri dan kroni. Musuh masih melilau-lilau mencari peluang. Jangan sampai terlepas, nanti menangis tidak berlagu. PRN?... Cukuplah, tidak perlu PRN, setakat yang dilihat hari ini, begitulah. Tutup krisis atau kemelut ini dengan perlantikan MB baharu. Selesai secara baiknya, itu yang rakyat mahu.

Justeru itu, sempena hari kemerdekaan ke-57 ini, saya antara anak jati negeri terkaya ini, mengharapakan agar segala yang berlaku ini akan segera selesai dan rakyat Selangor akan terus menikmati kebajikan menerusi program yang sudah diatur dengan baik selama ini, iaitu PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR. Agar ianya akan berkesinambungan nanti dengan perlantikan MB yang baharu. Oleh itu, sama-samalah berdoa, semoga pentadbiran di negeri terkaya di Malaysia ini, terus ditatakelola oleh tangan-tangan yang berjiwa rakyat, beragama, tidak rasis, dan sentiasa mengamalkan integriti yang ‘high class’, dan yang penting dari itu, Pakatan Rakyat akan terus menerajui Negeri Selangor yang tercinta ini.


Ayuh berubah, selamatkan Malaysia.

Salam Kemerdekaan Ke-57


SALAM
KEMERDEKAAN KE-57

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta...

Malaysiaku...Minda Merdeka...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...